Tuesday, June 8, 2010

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Akta ini merupakan undang-undang siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal dalam negara setakat ini. Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual. Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah difikirkan secara terpisah. Jika teknologi digital sekarang ditemukan bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan. Jadi, undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988. Dengan tergazetnya akta ini, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangka kerja bagi campurtangan secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.

Peserta utama dalam industri yang akan dikawal di bawah akta ini adalah seperti berikut:
  1. pemberi kemudahan rangkaian,
  2. pemberi perkhidmatan rangkaian
  3. pemberi perkhidmatan aplikasi
  4. pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan.

Bahagian VII Akta (seksyen 187 hingga seksyen 204) memperuntukan Perlindungan Pengguna. Jadi, dakwaan yang secara umumnya dilabelkan bercanggah dengan Akta Tandatangan Digital 1997 iaitu ia tidak mengambil perhatian terhadap kecenderungan pengguna, tidak dapat disandarkan akta ini.

Bahagian IX Akta (seksyen 205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial. Seksyen 211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang. Perlanggaran seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam usaha mengekang penyebar khabar angin, satu peruntukan yang dapat digunakan secara jitu untuk menangkap penjual khabar angin yang menyebarkan khabar angin palsu menerusi internet didapati dalam seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Muktimedia 1998. Seksyen 233 adalah seperti berikut :

233. (1) Seseorang yang -

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau
perkhidmatan aplikasi secara sedar -

(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau

(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik,

adalah melakukan suatu kesalahan.

(2) Seseorang yang secara sedar -

(a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan
apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau

(b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang
itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), adalah melakukan suatu kesalahan.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM 1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

No comments:

Post a Comment